Monday 3 February 2014

Anda semua ingat tak pada permainan galah panjang??

Galah Panjang
Galah panjang adalah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah kosong. Gelanggang yang dibuat mengandungi dua jalur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Gelanggang galah panjang dibuat mengikut bilangan pemain yang bermain. Permainan ini melibatkan kepakaran seseorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah bagi pihak yang mengawal gelanggang. Manakala kecekapan dan kepantasan teruji kepada pihak yang menempuh gelanggang. Jika pihak menempuh gelanggang mempunyai kebijaksanaan menempuh gelanggang, maka mereka boleh menang dengan mudah.

Cara Bermain :

  • Gelanggang galah panjang dilakar di atas tanah yang lapang. Panjang dan lebar bergantung kepada pelukis garisan dan bilangan pemain. Selalunya satu petak galah panjang berukuran lebih kurang 2 meter x 1.5 meter.
  • Selepas pemilihan dilakukan, setiap kumpulan akan melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa yang menjaga gelanggang dan siapa yang akan menempuh gelanggang.
  • Selepas penentuan, kumpulan yang menjaga gelanggang akan menjaga gelanggang dengan berpijak di atas garisan yang dilukis tadi. Ketua akan menjaga garisan tengah dan bebas pergi kemana-mana garisan depan atau belakang.
  • Kumpulan menempuh gelanggang
  •  akan berkumpul di depan dan seterusnya ketua akan menyapa atau menyentuh tangan ketua pihak lawan. Seterusnya mereka berlari masuk ke dalam gelanggang.
  • Penjaga akan menjaga kawasannya agar pihak yang menempuh tidak dapat melepasi garisan yang dijaganya.
  • Penempuh akan menempuh sehingga melepasi garisan paling akhir tanpa disentuh oleh penjaga gelanggang dan kemudiannya berpatah balik.
  • Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi garisan paling akhir dan garisan permulaan dan permainan diteruskan sehingga ada permain ingin berhenti.


Video untuk tontonan semua...



Mesti ramai yang pernah main permainan tarik upih kan... Seronok,,terutama sekali orang yang ditarik.. Kan?? Hehehehe...

Tarik Upih
Tarik upih merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak di beberapa negara ASEAN. Upih pinang adalah pelepah daun pokok pinang. Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah. Ketika pelepah ini jatuh ia masih berguna. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menraik upih tersebut. Selain pelepah pinang, pelepah kelapa juga digunakan.
  
Cara Bermain
Permainan ini di main secara berkumpulan. Upih ini mesti dimainkan dengan dua orang atau lebih. seorang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk di atas upih. Upih ini boleh dinaiki oleh seorang atau lebih asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih yang luruh itu. Biasanya muat setakat seorang dua sahaja. Pemain yang lebih tua/besar selalunya akan jadi penarik sementara yang kecil akan menjadi penunggangnya. 
Setiap ahli diwajibkan menarik setiap ahli kumpulan di mana peserta pertama akan menarik peserta kedua dari titik permulaan sehingga ke garisan penamat dan mereka akan bertukar peranan. Peserta kedua akan menarik peserta pertama ke garisan permulaan semula dan ini dianggap sebagai satu pusingan. Seterusnya, ahli kumpulan yang lain akan meneruskan permainan sehingga semua ahli telah melakukan aktiviti.





Macam seronok je main tarik-tarik ni.. Hehehe..

Yo-Yo Cina???

Permainan yo-yo cina adalah mainan dari China yang terdiri daripada dua cakera yang sama saiz disambungkan dengan gandar yang panjang. Satu gerakan mengangkat dan menjatuhkan dengan menggunakan dua batang kayu di mana setiap satu dipegang dengan satu tangan bagi membolehkan yo-yo berputar pada tali yang diikat di antara batang kayu.
Pada zaman moden, ia digunakan sebagai mainan kanak-kanak dan sebagai alat persembahan di sarkas dan juga terdapat dalam tarian Cina. Permainan ini boleh dimainkan dengan pelbagai gaya yang boleh menjadi semudah melontar yo-yo ke udara atau melambung di sekitar belakang pengguna. Yo-yo barat mengekalkan gerakan putaran melalui kesan berputar berdasarkan pemuliharaan momentum sudut.
Pemain akan memegang hujung kedua-dua kayu dengan mengimbangi yo-yo daripada jatuh. Permainan ini dikenal pasti telah wujud sejak Dinasti Min sekitar tahun 1386 hingga tahun 1644 selepas Masihi.


Cara Bermain : 

Yo-Yo Cina juga dikenali sebagai Diabolo memerlukan pemainnya memegang stik kayu yang diikat dengan tali nilon dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Fungsi stik kayu tersebut ialah sebagai alat untuk menggerakkan tali nilon mengikut cara yang dikehendaki. Pemain perlu mengimbangi yo-yo daripada terjatuh dan memutarkan daibolo dengan laju untuk melakukan pelbagai aksi yang mengagumkan. Diabolo yang ringan mudah digunakan tetapi putarannya mungkin hanya seketika. Kebanyakan pemain yang handal akan memilih dibolo yang berat untuk melakukan pelbagai aksi yang menarik. Diabolo mudah dipelajari tetapi mengambil masa panjang untuk mahir.





Mari kita cuba sesuatu yang baru... :)







Congkak buatan sendiri.


Aktiviti yang boleh dilakukan untuk aktiviti permainan congkak dengan membuat sendiri, mesti seronokkan. Buat dari botol besar dan sederhana. letakkan kotak untuk dijadikan tapak. buah boleh guna biji getah atau penutup botol. Jom cuba...




Video wau bulan


Video cara membuat wau bulan




Vidoe main gasing


Video cara main gasing





Wau



Wau juga dikenali sebagai layang-layang. Permainan ini digemari oleh penduduk kampung dan permainan ini telah dimainkan sejak kurun ke-15. Sehingga kini, wau masih diminati dan dimainkan oleh masyarakat setempat seperti di negeri-negeri pantai timur dan juga termasuk Kedah dan Perlis.
Wau telah dibuat melalui pelbagai bentuk dan mempunyai jenis-jenis tertentu contohnya seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak dan lain-lain. Walaubagaimanapun wau bulan merupakan wau yang paling diminati oleh masyarakat Melayu dan corak bermotifkan awan dengan pelbagai warna sering digunakan untuk menghiasi wau tersebut. Kini, wau juga telah digunakan sebagai barangan kraftangan dan menjadi hiasan dinding bagi peminat wau.
Cara Bermain
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang iaitu salah seorang daripada mereka akan memegang wau tersebut dan seorang lagi yang dipanggil sebagai juru anjung akan memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik secara melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehingga wau tersebut terbang tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan membuat wau tersebut menjadi cantik, tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna-warni itu.